EPL: Fabinho Curi Tiga Mata Untuk Liverpool
Dunia
Martin Rickett/Press Association
Advertisements

Bagi jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, kemenangan 1-0 Reds ke atas Burnley merupakan kemenangan rutin. Ia membantu merapatkan kedudukan mereka dengan pendahulu Manchester City. Tetapi bagi pengurus Burnley, Sean Dyche, kekalahan ini langsung tidak membantu mereka keluar dari zon penyingkiran EPL.

Trio penyerang Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane kembali membarisi bahagian serangan buat kali pertama sejak Oktober lepas. Burnley pula mempertaruhkan penyerang Belanda Wout Weghorst bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang New Zealand, Chris Wood.

Dengan cuaca hujan dan angin yang bertiup dari tiga arah sekitar Turf Moor, ia merupakan satu cabaran kepada pasukan tuan rumah dan pelawat. Keadaan ini dimanfaatkan oleh Burnley menerusi beberapa percubaan pada babak pertama termasuk cubaan Weghorst tetapi dinafikan penjaga gol Alisson.

Advertisements

Begitupun, itu tidak bermakna Reds duduk diam sahaja. Penjaga gol Burnley, Nick Pope berjaya menafikan sepakan voli Mane yang dipilih menggantikan Diogo Jota. Mane yang segar daripada kemenangan Piala Negara-Negara Afrika bersama Senegal sekali lagi dinafikan Pope tetapi bola tampanannya berjaya ditolak masuk Fabinho untuk gol pelawat.

Selepas rehat separuh masa, Clarets cuba mengasak kubu pertahanan Liverpool. Bagaimanapun, kubu Liverpool diketuai Virgil van Dijk dan Joel Matip terus kebal menyerap asakan Burnley. Situasi Clarets semakin parah apabila Weghorst terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Situasi kecederaan Weghorst sudah pasti merungsingkan Dyche. Walaupun mempunyai kelebihan perlawanan dalam tangan, ia tidak akan membantu selagi mana mereka gagal mengutip tiga mata. Keadaan ini tidak dibantu dengan kemenangan Newcastle United ke atas Aston Villa. Burnley kini ketinggalan tujuh mata di belakang Magpies untuk keluar dari zon penyingkiran.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram