EPL: Liverpool & Chelsea Seri, Hadiah Perlawanan Ke-1000 Buat Klopp
Dunia
Liverpool FC
Advertisements

Hasrat Jurgen Klopp meraikan perlawanan ke-1000 dalam karier pengurusannya dengan kemenangan di Anfield tidak kesampaian. Ini selepas Liverpool diikat 0-0 oleh pasukan gergasi London, Chelsea dalam perlawanan awal EPL hari ini.

Sebaik sepak mula, Chelsea menyangka telah mendahului menerusi tolakan mudah Kai Havertz pada minit ketiga. Bagaimanapun, VAR kemudiannya membatalkan gol tersebut selepas beberapa pemain Blues termasuk Havertz berada pada kedudukan ofsaid.

Tersentak, Reds pula menguji pertahanan Chelsea diketuai Thiago Silva menerusi percubaan Cody Gakpo pada minit keenam. Mohamed Salah berjaya melepasi pertahanan Blues dan melorongkan bola ke arah Gakpo tetapi percubaannya terus menuju ke arah penyokong.

Advertisements

Liverpool kelihatan lemah dalam situasi bola mati dan itu hampir membawa kepada gol pembukaan pelawat pada minit ke-32. Bekas bek tengah Monaco, Benoit Badiashile menanduk hantaran Hakim Ziyech tetapi berjaya dinafikan oleh Alisson.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari peluang untuk memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Liverpool dan Chelsea terus mencari peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal. Ini mendorong pengurus Blues, Graham Potter memasukkan bintang Ukraine, Mykhailo Mudryk bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Advertisements

Mudryk hampir membuka jaringan pada minit ke-65. Selepas mengambil bola yang terlepas daripada Conor Gallagher, bekas pemain Shakhtar Donetsk itu menggelecek beberapa pemain tetapi rembatannya terkena tepi gol.

Walaupun mendapat sokongan padu penyokong Reds di Anfield, jentera serangan Reds terus tumpul di hadapan gol lawan. Terdesak, Klopp memasukkan penyerang Uruguay, Darwin Nunez untuk menyokong Salah dan Gakpo.

Kemasukan Nunez hampir menembusi gawang Blues yang dikawal Kepa Arrizabalaga pada minit ke-69. Nunez melorongkan bola kepada bekas penyerang PSV Eindhoven itu sebelum menyepak ke arah gol tetapi berjaya ditangkap Kepa.

Advertisements

Kelincahan Mudryk membuli bahagian kanan pertahanan Reds memaksa Klopp membawa masuk Trent Alexander-Arnold untuk cuba mengekang pemain gantian Chelsea itu.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit akhir, kedua-dua pasukan terus terdesak memecah kebuntuan. Walaupun mendapat masa tambahan selama lima minit, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Liverpool dan Chelsea kekal di tangga kesembilan dan ke-10 dengan 29 mata. Selepas ini, Blues akan bertandang ke Craven Cottage untuk menentang Fulham pada awal pagi 4 Februari.

Advertisements

Manakala Reds pula berkunjung ke Molineux pada hari yang sama untuk menentang pasukan tuan rumah, Wolverhampton Wanderers.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram