Erik ten Hag Jalani Temu Duga Bagi Jawatan Pengurus Manchester United

erik Erik ten Hag Jalani Temu Duga Bagi Jawatan Pengurus Manchester United
Getty Images
Hakim Johari @HakimJohari4
11:22am 23/03/2022

Manchester United telah berjumpa dengan pengurus Ajax, Erik ten Hag bagi sesi temu duga jawatan pengurus Manchester United. Manchester United ketika ini dikendalikan oleh Ralf Rangnick selaku pengurus interim dan mula mencari pengurus seterusnya bagi saingan musim hadapan.

Menurut kenyataan Fabrizio Romano, United berpuas hati dengan kefasihan Erik ten Hag berbahasa Inggeris namun belum ada kata putus memandangkan kelab meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kata akhir. Pengurusan Manchester United juga akan menemu duga beberapa calon lain selepas ini.

Antara pengurus yang berada dalam senarai pendek United ialah Mauricio Pochettino, Julen Lopetegui dan Luis Enrique. Namun nama Erik ten Hag kerap disebut sebagai pilihan utama United.

Erik ten Hag cemerlang memimpin pasukan Ajax pada musim ini apabila membawa Ajax berada di puncak liga dengan 66 mata selepas 27 perlawanan. Malah Ajax telah menjaringkan 80 gol dan hanya dibolosi 13 gol dalam saingan Eredivisie.

Manchester United berminat mendapatkan khidmat ten Hag setelah United bergelut pada awal musim dan kini berjuang menamatkan saingan liga dalam kelompok 4 teratas.