Exco Sukan Johor Tegaskan Stadium Sultan Ibrahim Adalah Milik JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah tampil menafikan dakwaan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini susulan satu dakwaan seorang individu di media sosial yang mendakwa SSI bukan milik pasukan itu dan JDT hanya menyewa stadium berkenaan.

Hairi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai dangkal, tidak berfakta dan berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Stadium Sultan Ibrahim (SSI) adalah hak milik Johor Darul Ta’zim, yang berada di bawah naungan dan perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor selaku pemilik Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pembinaan stadium ini adalah sebahagian daripada visi strategik DYAM Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di Negeri Johor.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan, termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat dan pengurusan kelab secara keseluruhan.”

Hairi turut menjelaskan peranan Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) dalam membantu urus tadbir SSI.

PSNJ bukan saja bertanggungjawab mengawal selia operasi harian SSI, merancang dan melaksanakan penyelenggaraan berkala.

Malah, PSNJ juga bertanggungjawab mengurus aspek keselamatan, fasiliti, logistik dan penganjuran acara serta memastikan stadium berada pada tahap terbaik untuk perlawanan domestik dan antarabangsa.

Pemisahan peranan yang profesional dan berkesan ini membantu JDT fokus kepada prestasi dan pencapaian kelab. PSNJ pula fokus kepada pengurusan dan penyelenggaraan stadium.

Hairi menyifatkan pemisahan peranan itu selari dengan amalan terbaik kelab-kelab elit dunia dan menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional dan antarabangsa.

Hal ini turut disokong PSNJ menerusi satu kenyataan. “Kenyataan ini jelas, berfakta dan tepat dalam memperjelaskan kedudukan sebenar pemilikan Stadium Sultan Ibrahim.

“Penjelasan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan serta menunjukkan bahawa tadbir urus sukan di Johor dilaksanakan secara profesional dan berstruktur.

“Pemisahan peranan antara Johor Darul Ta’zim F.C. dan Perbadanan Stadium Negeri Johor adalah selari dengan amalan terbaik antarabangsa dan menjadi antara faktor kejayaan berterusan JDT,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

PSNJ turut memaklumkan bahawa badan itu komited memastikan operasi, penyelenggaraan dan fasiliti SSI berada pada tahap terbaik.

SSI telah menerima banyak pengiktirafan termasuk Penarafan Produk Pelancongan Program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA).