Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim memberi khabar gembira kepada penyokong pasukan apabila beliau dikesan kembali bersama pasukan.
Bintang sensasi Malaysia itu sedang dalam tempoh penggantungan oleh FAM selama satu bulan berkuat kuasa hujung bulan lalu.
Jawatankuasa Tatatertib FAM bagaimanapun telah membuat keputusan untuk membenarkan bekas pemain Terengganu ini menjalani latihan untuk mengekalkan tahap kecergasannya.
Penantian para penyokong The Red Giants akhirnya termakbul apabila Faisal dilihat sudah mula menjalani latihan bersama pasukan.
Menerusi perkongsian oleh laman Selangor FC, kapten Harimau Malaya itu telah menyertai rakan sepasukan pada hari ini.
Beliau juga merupakan watak penting buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe untuk mengemudi jentera serangan pasukan.
Pada musim ini, Faisal telah pun berjaya mencatat 8 jaringan dan 8 bantuan gol sepanjang 19 aksi Liga Super setakat ini.
Beliau juga menjadi pemain tempatan dengan statistik paling memberangsangkan di Liga Super dan membantu Selangor untuk berada di tangga kedua liga.
Kudrat Faisal sudah pasti bakal kembali ditagih untuk memperkuat pasukan sambil ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberi bayangan bahawa pemain lincah ini kekal berada dalam percaturannya menjelang aksi persahabatan, September ini.