Peminat Selangor FC ceria apabila pemulihan bintang pasukan itu, Faisal Halim terus menunjukkan perkembangan positif.
Sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Petaling Jaya selepas menjadi mangsa kes simbahan asid baru-baru ini.
Bagi membantu pemulihan Faisal, beliau turut menjalani beberapa pembedahan termasuk pembedahan implan kulit pada bahagian tubuhnya yang cedera.
Atas sebab itu, tiada pelawat dibenarkan melihat pemain sayap kebangsaan itu sebagai langkah keselamatan dan memastikan pemulihan beliau berjalan lancar.
Kini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Merah Kuning, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan Faisal telah dipindahkan dari wad ICU ke wad biasa. Meskipun begitu, tiada pelawat dibenarkan untuk melihat beliau.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) Faisal sudah dipindahkan dari (wad) ICU ke wad biasa. Tetapi masih tidak dibenarkan menerima pelawat kerana keadaannya yang masih sensitif.
“Tapi alhamdulillah, Faisal stabil. Insya Allah, selepas ini pakar masih memantau keadaan Faisal. Insya Allah, prosedur seterusnya saya difahamkan akan berlaku pada minggu depan sama ada hari Isnin atau Selasa,” katanya dalam sidang media yang diadakan di hospital semalam.
Dengan proses pemulihan berjalan lancar, Shahril turut memaklumkan Faisal akan dibenarkan keluar dari hospital selepas dua minggu.
“Perkembangan itu baik tetapi saya mengikut nasihat doktor. Saya difahamkan keadaan (Faisal) bertambah baik tetapi ianya mengambil masa yang lama.
“Mungkin ada yang tanya berapa lama Faisal akan berada di hospital. Saya rasa paling kurang dua minggu lagi,” tambahnya.
Selain menunjukkan perkembangan positif dari segi pemulihan, Faisal juga dilaporkan mula menjalankan aktiviti ringan seperti berjalan dan menjamah makanan.