Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim mengakui peluang beraksi semula di atas padang sebagai detik istimewa buat dirinya.
Sorakan penyokong bergema di Stadium MBPJ pada 10 Ogos lalu apabila pemain sayap Selangor itu membuat kemunculan sebagai pemain gantian bila menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Faisal masuk pada minit ke-85 menggantikan penyerang muda Jordan, Reziq Bani Hani. Ini kali pertama beliau beraksi sejak mangsa serangan asid pada Mei lalu.
Meskipun perlu mengharungi proses pemulihan yang menjerihkan, keazaman yang ditampilkan Faisal untuk pulih mengagumkan ramai pihak termasuk peminat bola sepak negara.
Bila ditanya tentang detik itu, bekas pemain sayap Terengganu itu mengakui ia satu saat yang istimewa buat dirinya.
“Alhamdulillah, syukur. Ini saat yang saya nantikan. Saat yang pada hari ini cukup istimewa untuk diri saya dan penyokong Selangor serta keluarga saya juga, alhamdulillah,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Faisal turut mengakui dirinya sedikit berkarat bila ditanya tentang aspek persembahannya di atas padang. Pada masa sama, beliau percaya jika diberi ruang dan masa, beliau akan dapat kembali mempamerkan prestasi yang lebih bagus selepas ini.
“Saya masih ada waktu dan ruang untuk saya tambah baik dan kejar dari segi persembahan dan kualiti. Banyak benda yang saya tertinggal sekarang. Saya harap saya dapat masa yang cukup untuk kembali,” tambahnya.
Kemunculan pertama Faisal dilihat pelengkap kepada kemenangan 2-0 Selangor ke atas Kijang Emas. Dua gol Merah Kuning disumbang oleh Ronnie Fernandez.