Bintang sensasi negara, Faisal Halim kini menjadi pemain tempatan paling mahal di Selangor.
Saham pemain berusia 25 tahun ini melonjak naik setelah prestasi cemerlang diperagakan beliau ketika bersama kelab dan kem kebangsaan.
Beliau juga menjadi watak penting serta tunjang utama kemenjadian skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon dalam beberapa aksi siri persahabatan baru-baru ini.
Menerusi tinjauan MakanBola di laman Transfermarkt, Faisal mencatatkan nilai pasaran terkini iaitu 375,000 Euro, bersamaan dengan RM 1.9 Juta. Beliau menjadi pemain keempat termahal di Selangor selepas awang import, Yohandry Orozco, Ayron Del Valle dan Richmond Boakye.
Tanda harga pemain sayap lincah ini meningkat daripada kemaskini yang lepas dimana pada Oktober 2022, nilai Faisal ialah 300,000 Euro, sekitar RM 1.4 Juta. Perpindahan Faisal dari pasukan Terengganu ke Selangor juga dilihat memberi impak dalam melonjakkan nilai pasaran anak kelahiran Mengkuang Titi ini.
Setakat 14 penampilan dalam kempen Liga Super 2023, Faisal telah merekodkan sebanyak tujuh gol dan mencatat enam bantuan gol.
Faisal juga cemerlang membantu Selangor menghuni kedudukan kedua dalam saingan Liga Super 2023.