Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim merasakan dirinya tidak lagi normal seperti pemain-pemain bola sepak yang lain selepas tragedi simbahan asid ke atas dirinya yang berlaku pada Mei 2024.
Kesan daripada simbahan asid itu, pergerakan Faisal menjadi terhad terutamanya pergerakan tangan kirinya yang mengalami kecederaan teruk.
“Saya nak angkat tangan susah, saya nak bergerak susah, nak berlari susah, nak sepak susah, nak buat penyudah pun susah. Saya seorang flanker yang selalu menggelecek, selalu dijatuhkan, selalu diterjah.
“Jadi banyak aspek yang saya perlu belajar. Sudah tentu keadaan berbeza. Dengan keadaan sekarang, saya rasa macam tak normal. Kadang-kadang panas, rasa haba dalam badan.
“Tangan saya pun dah tak normal. Tak macam orang biasa, tak macam pemain-pemain lain. Jadi apa yang saya boleh buat, saya cuma biasakan diri saya dengan keadaan sekarang,” jelas Faisal ketika ditemubual Astro Arena.
Faisal juga menjelaskan bahawa tangannya kini tidak boleh ditegakkan seperti biasa akibat daripada tragedi simbahan asid tersebut namun akui bertambah selesa dengan keadaan sekarang.
Faisal kini semakin mendapatkan rentak permainan semula apabila kerap diturunkan oleh pasukan Selangor dan beberapa kali beliau hampir mencetak jaringan pertamanya selepas tragedi ngeri yang menimpa beliau.