Selepas timbul kemelut isu potongan gaji membabitkan Terengganu FC (TFC) dan bekas pemain sayap mereka Faisal Halim, isu tersebut dianggap selesai. Ini selepas penyerang baru Selangor itu menaikkan satu ciapan di akaun Twitter peribadinya pagi tadi.
Ciapannya berbunyi, “Saya memohon maaf di atas semua kekhilafan dan salah faham yang berlaku diantara saya dan pihak Terengganu FC serta penyokong selama saya di bumi Terengganu Darul Iman. Setiap kebaikan datang dari Allah SWT dan kekhilafan datang dari saya sendiri. TFC telah jelas baki gaji saya.”
Dalam ciapan yang sama, Faisal turut memuatnaik gambar dia bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif (COO) TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas sebagai tanda kemelut tersebut sudah berakhir.
Sebelum ini, kemelut tercetus apabila Faisal memuatnaik status di Twitter tentang menuntut hak dirinya sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat. Ia kemudiannya disusuli pendedahan dakwaan TFC memotong gaji bekas pemain Sri Pahang itu tanpa notis.
Susulan itu, ramai pihak meminta kedua-dua TFC dan Faisal menyelesaikan isu tersebut dengan baik. Menerusi ciapan Faisal itu, kedua-duanya boleh memberi fokus kepada saingan Liga Super musim depan tanpa perlu dibebani kemelut berpanjangan.
Terengganu pastinya mahu meneruskan kecemerlangan di bawah pengendali baru Tomislav Steinbruckner. Manakala Faisal pula bersedia menjadi ayam tambatan Tan Cheng Hoe untuk skuad Gergasi Merah.