FAM Hantar Aduan Ke FIFA Berhubung Kewujudan Harimau Malaya ‘Palsu’

Twitter hafizal hamad FAM Hantar Aduan Ke FIFA Berhubung Kewujudan Harimau Malaya 'Palsu'
@hafizal_hamad
Azim Noor @mohdazim45
12:39pm 16/02/2023

Kebangkitan Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan-gon merupakan sesuatu yang baik kepada bola sepak negara. Tetapi baru-baru ini, FAM memfailkan aduan kepada FIFA selepas diberitahu ada pihak yang menyamar sebagai skuad bola sepak negara.

Hal ini didedahkan oleh penganalisis bola sepak, Mark Stafford. Dia mendedahkan pasukan gergasi MLS, LA Galaxy dijemput mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya.

Selepas pasukan itu menang dengan keputusan 4-1, Galaxy mendapati pasukan tersebut sebenarnya terdiri daripada penyamar dan bukan pemain-pemain kebangsaan Malaysia.

Hal ini menimbulkan kemarahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengarahkan siasatan segera dijalankan. Siasatan ketika ini dijalankan oleh jawatankuasa integriti FAM termasuk wakil SPRM dan PDRM.

“Ada orang menyamar sebagai pasukan kebangsaan. Ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kita telah menghantar surat kepada FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) berkenaan hal ini,” katanya bila dihubungi New Straits Times.

FAM sendiri turut menegaskan tidak pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun ini.

Apa yang lebih membimbangkan ialah pembabitan bookie sebagai penganjur perlawanan. Walaupun Stafford tidak mendedahkan bila perlawanan tersebut diadakan, bookie dikatakan meraih wang pertaruhan bernilai jutaan ringgit untuk pertaruhan membabitkan lima gol atau lebih.

Lebih mengejutkan, bookie berkenaan dikatakan menyamar sebagai pegawai FAM untuk mengatur perlawanan tersebut. Kononnya, LA Galaxy dapat menjadi lawan pemanas badan Harimau Malaya sebelum Piala Asia 2023 bermula pada Januari tahun hadapan.

Ini bukan kali pertama perlawanan Harimau Malaya menjadi sasaran bookie. 14 tahun lepas, sebuah kelab mendakwa diri mereka sebagai pasukan Zimbabwe dan mengadakan perlawanan dengan skuad kebangsaan sebanyak dua kali.

Malah, kedua-dua perlawanan tersebut turut mendapat kelulusan FIFA. Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Zimbabwe (ZIFA) kemudiannya mendedahkan kedua-dua perlawanan itu diatur oleh bookie Singapura, Wilson Raj Perumal.

Selain Zimbabwe, Lesotho juga turut menyiasat perlawanan persahabatan mereka dengan Harimau Malaya pada tahun sama selepas mendapati ada unsur pengaturan perlawanan. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 5-0 buat Harimau Malaya.