Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram melabel keputusan pengadil dalam aksi Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) tepat.
Aksi terbaru Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu pada 17 Disember lalu berkesudahan dengan kemenangan 3-1 buat Harimau Selatan.
Dua gol Bergson da Silva dan gol sendiri Adam Nor Azlin memastikan JDT meraih kemenangan ke-15 dalam liga. Pemain gantian, David Rowley menyumbat gol saguhati buat Tok Gajah.
Meskipun begitu, beberapa keputusan perlawanan tersebut mengundang rasa tidak puas hati pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad. Ini termasuk layangan tiga kad kuning yang diterima pasukan itu.
Apabila diminta mengulas tentang isu berkenaan, Sivasundaram memaklumkan badan induk bola sepak itu sentiasa mengutamakan kecemerlangan dari segi prestasi pengadil.
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengadil dan pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan tersebut.
“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.
“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati pengadil dan pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan JDT terus memperkukuh kedudukan di persada liga dengan 46 mata. Sri Pahang pula jatuh ke tangga ke-10 dengan 15 mata.
Tok Gajah kini mengalihkan fokus untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak FC pada 22 Disember ini.