Penganjuran Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dijangka memberi impak besar kepada Harimau Malaya untuk jangka masa panjang.
Ini kerana pengenalan liga ini bakal membantu mengenal pasti lebih ramai pemain berbakat dari seluruh negara. Hal ini juga menyaksikan laluan mereka menyertai skuad kebangsaan semakin jelas.
LRK secara ringkas pertandingan pembangunan akar umbi yang menghimpunkan pemain-pemain muda terbaik dari seluruh negara yang dianjurkan menerusi kerjasama erat di antara NFDP dan FAM.
LRK 2026 merupakan edisi sulung pertandingan yang membabitkan tiga kategori umur dipertandingkan iaitu Kategori Bawah 12 Tahun (B-12) yang menampilkan 12 pasukan, Kategori B-15 menampilkan 12 pasukan dengan Kategori B-16 (10 pasukan).
Kesemua perlawanan LRK 2026 berlangsung di AMD, Gambang dengan aksi berlangsung pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.
LRK telah bermula sejak 6 dan 7 Jun lalu (Minggu 1 – Hari Perlawanan 1 & 2) dan dijangka berakhir pada 7 dan 8 November 2026 (Minggu 11 – Hari Perlawanan 21 & 22).
LRK bukan saja menyaksikan penyertaan pasukan dari persatuan bola sepak negeri. Malah, akademi bola sepak negeri dan program-program pembangunan yang memenuhi syarat pertandingan turut mengambil bahagian.
Penglibatan banyak pasukan dijangka membantu ramai peninjau bakat untuk melihat dan mengenal pasti pemain berbakat daripada ratusan pemain muda dari seluruh Malaysia.
“ Secara keseluruhan, objektif utama penganjuran LRK ialah untuk menyediakan lebih banyak minit permainan berkualiti, mewujudkan laluan pembangunan pemain yang jelas, menyeragamkan standard pertandingan di seluruh negara, menjadi platform pencarian bakat untuk skuad kebangsaan serta membantu pembangunan jurulatih, pengadil dan pegawai pertandingan.
“Penyertaan pasukan-pasukan dalam saingan LRK ini melibatkan pasukan dari persatuan bola sepak negeri, akademi bola sepak negeri serta program-program pembangunan yang memenuhi syarat pertandingan. la melibatkan ratusan pemain muda dari seluruh Malaysia,” ujar kenyataan FAM pada hantaran media pada majlis tersebut.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga menetapkan sasaran mengenal pasti 60 pelatih pemain yang berpotensi. Sasaran itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari semasa merasmikan LRK baru-baru ini.
FAM yang kini diketuai oleh Datuk Noor Azman Hj Rahman selaku Setiausaha Agung selepas peletakan jawatan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) optimis memastikan laluan pemain muda negara lebih kemas dan progresif, selaras dengan aspirasi untuk melihat kemajuan skuad kebangsaan pada pentas Asia Tenggara dan juga Asia.