FAM Seru Sokongan Padu Peminat Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyeru sokongan padu penyokong buat Harimau Malaya bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam pada 16 Ogos ini.

Seruan itu dizahirkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman. Beliau melihat sokongan penyokong cukup penting dalam membantu anak buah Tan Cheng Hoe meraih dua kemenangan di tempat sendiri.

Noor Azman turut berharap isu harga tiket bukan penghalang buat ‘Ekor’ Harimau Malaya untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada hujung minggu ini.

“Pasukan pun sudah layak untuk separuh akhir. Dan lepas itu, saya juga menyeru kepada penyokong-penyokong untuk hadir beramai-ramai untuk kita memberi sokongan yang padu kepada pasukan Harimau Malaya kita pada hari Ahad ini.

“Isu soal tiket itu, kita minta bersabarlah, kita bersabar. Kita datang ramai-ramai untuk kita menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Cheras,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Dua aksi Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menentang Laos dan Filipina masing-masing merekodkan kehadiran 10,044 dan 12,734 orang.

Malaysia berharap dapat memburu kelebihan awal dalam aksi menentang Pahlawan Bintang Emas yang juga juara bertahan kejohanan.