Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad mengharapkan ketajaman penyudah penyerang importnya, Kpah Sherman menjelang pertemuan menentang Penang dalam saingan Piala FA.
Kpah Sherman yang masih diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan masih kebuntuan jaringan selepas dua aksi pertama liga dan kekal menjadi sandaran utama Fandi untuk merobek gawang lawan di Temerloh.
Menurut Fandi, pasukannya kini berada di tahap terbaik tatkala persiapan pemain hampir 100% namun aspek penyudah di bahagian serangan masih menjadi keutamaan setelah rekod jaringan dalam aksi terdahulu sedikit merisaukan.
”Saya rasa kita sudah 90% bersedia dengan para pemain tetapi ada 10% yang harus kita sudahkan iaitu dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada,” katanya kepada Astro Arena.
“Dalam dua aksi sebelum ini (menentang Kelantan DN dan Kuching City), kita agak mensia-siakan peluang dan saya harap esok kita akan mula menjaringkan gol mudah-mudahan.”
Fandi berharap agar tonggak import Sri Pahang, Kpah Sherman berhasil menamatkan kemarau jaringannya dalam aksi berdepan Penang ini setelah melihat kerja keras pemain berusia 30 tahun itu dalam sesi latihan pasukan.
“Mudah-mudahan Kpah (Sherman) dapat menjaringkan gol pertamanya (musim ini) kerana dia bekerja keras tetapi belum dapat menyumbat gol,” ujar pengendali kelahiran Singapura itu lagi.
Sri Pahang bakal melayani kunjungan Penang yang dibimbing Akmal Rizal di Stadium Temerloh dalam aksi pusingan pertama Piala FA pada Jumaat dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8.15 malam.