Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan kepada ahli bersekutu konfederasi mengenai keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) melibatkan 7 pemain warisan Harimau Malaya.
Menerusi maklum balas rasmi yang diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), FIFA mengesahkan bahawa penggantungan terhadap tujuh pemain berkenaan perlu ditangguhkan serta-merta di peringkat domestik dan juga kejohanan benua.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel, yang sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak oleh FIFA.
Susulan keputusan CAS itu, FIFA telah mengeluarkan arahan rasmi supaya hukuman penggantungan tersebut tidak dikuatkuasakan buat sementara waktu, selaras dengan kelulusan Penangguhan Pelaksanaan yang diberikan sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS diputuskan.
Perkembangan ini bermakna kesemua tujuh pemain warisan berkenaan kini dibenarkan untuk beraksi dalam saingan liga domestik, pertandingan peringkat benua serta menyertai sebarang aktiviti bola sepak yang berkaitan tanpa sebarang sekatan.
FAM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum arahan FIFA tersebut dan akan memastikan segala prosedur serta ketetapan yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia itu dipatuhi sepenuhnya.
Keputusan ini sekali gus memberi kelegaan besar kepada kem Harimau Malaya, khususnya dalam perancangan pasukan kebangsaan menjelang tugasan antarabangsa akan datang, sementara menunggu keputusan akhir kes rayuan di CAS.