FIFA Rancang Wajibkan Kuota Pemain Akademi B-21, Liga Malaysia Sedia?
MakanBola
Terengganu FC

Liga Malaysia (Liga M) perlu bersedia seandainya peraturan kuota pemain akademi Bawah 21 Tahun (B-21) yang dicadangkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi kenyataan.

Ini kerana Majlis FIFA baru-baru ini bersetuju meluluskan proses perundingan bersama semua pemegang taruh termasuk negara ahli (MA) berhubung cadangan peraturan kuota pemain berkenaan.

Mengikut syor peraturan itu, pasukan senior sesebuah kelab perlu diwajibkan menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain B-20 atau B-21 di atas padang.

Sekiranya semua berjalan lancar, kertas cadangan peraturan tersebut akan diserahkan kepada Majlis FIFA pada tahun hadapan.

Cadangan peraturan ini dilihat lebih ketat daripada peraturan pemain akademi yang diamalkan di beberapa liga di seluruh dunia termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL).

Misalnya, EPL menetapkan sesebuah pasukan perlu memiliki sehingga 17 pemain akademi dalam senarai skuad mereka.

Pemain mestilah berada di akademi sesebuah kelab sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum mereka mencecah usia 21 tahun. Syarat ini terpakai kepada semua pemain tak kira pemain tempatan atau pemain import.

Beberapa liga Asia juga turut melaksanakan variasi peraturan B-21. K-League terus mengekalkan peraturan skuad harus memiliki sekurang-kurangnya dua pemain B-22 untuk mendapatkan senarai 20 pemain.

Liga Indonesia pula sudah melaksanakan peraturan kuota pemain B-23 sejak beberapa musim. Meskipun begitu, satu laporan media menyatakan peraturan tersebut bakal dimansuhkan pada musim hadapan.

Idea kuota pemain B-23 dalam Liga M bukan asing dalam kalangan penggiat bola sepak negara. Malah, saingan Liga A1 telah menguatkuasakan peraturan kuota tiga pemain B-23 untuk senarai skuad kelab yang bertanding bermula musim 2025/26.

Meskipun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd pada 2025 memaklumkan pengelola liga itu belum ada rancangan untuk mewujudkan kuota tersebut.

Idea ini berpotensi menjadi topik diskusi kelab-kelab Liga Super terutama selepas sesi meja bulat yang diadakan pada 29 April lalu.