Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan menyalahkan pemain sayap pasukan itu, Ramadhan Saifullah Usman atas kegagalan beliau menjaringkan penalti dalam aksi final Piala Malaysia.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang kegagalan Ramadhan menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua.
Kuching City berpeluang membuka tirai jaringan apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-64. Malangnya, penalti yang diambil Ramadhan langsung tidak menemui sasaran.
Lawan The Cats, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia dengan menjaringkan dua gol. Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Aidil Sharin enggan menyalahkan Ramadhan kerana melihat penalti kadang-kadang bergantung kepada nasib. Beliau turut mengingatkan ada pemain yang bertaraf dunia juga kadang-kadang gagal menyempurnakan sepakan penalti.
“Saya tidak mahu menyalahkan Ramadhan kerana (peluang) penalti sentiasa sama rata. Pemain yang bagus dan bertaraf dunia juga terlepas penalti,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Tetapi ia akan menjadi baik jika kami menjaringkan gol. Dan saya percaya, ini hanyalah pendapat saya, perlawanan akan berbeza.
Kerana momentumnya bagus dan kami mendapat penalti dan peluang yang baik.
“Dan anda tahu pasukan seperti JDT, jika anda tidak mengambil peluang. Sudah tentu pemain saya, mereka juga manusia. Sudah tentu mereka akan berasa sedikit kecewa dan di sinilah kami dihukum. Dan mereka mengambil peluang dan mereka menjaringkan gol.”
Aidil Sharin turut mengingatkan bahawa Ramadhan masih muda. Beliau percaya apa yang berlaku di pentas final bakal mematangkan bekas pemain JDT itu dan menjadikan Ramadhan lebih baik selepas ini.
“Jangan lupa, beliau masih muda. Jika beliau pemain yang berkualiti dan terbaik, beliau sudah berada di JDT dan bukan di Kuching. Jadi saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain ini.
“Beliau sudah melakukan yang terbaik, beliau juga manusia. Kesilapan adalah perkara biasa dalam bola sepak.
“Jadi, saya masih gembira dengan prestasinya sepanjang musim. Dan pastinya beliau akan bertambah baik dengan (belajar dari) kesilapan seperti ini,” tambahnya.
Meskipun menamatkan kempen sebagai naib juara Piala Malaysia, ia masih satu pencapaian membanggakan buat Kuching City untuk musim 2025/26.
Selain menamatkan musim sebagai naib juara Liga Super, Kuching City juga layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.