Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berkongsi kisah di sebalik jaringan dan kata-kata Arif Aiman sebelum dimasukkan ketika aksi final Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City pada Ahad.
Kelibat Arif Aiman mencuri perhatian peminat pada perlawanan akhir Piala Malaysia apabila pemain sayap berusia 24 tahun itu kembali beraksi selepas berehat panjang selama 6 bulan akibat kecederaan yang dialami pada tahun lalu.
Arif Aiman bukan sahaja kembali beraksi buat kali pertama, malah beliau turut melakar nama sebagai penjaring gol pada masa tambahan sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 JDT ke atas Kuching City di TM Stadium Nasional.
Larian kencang Arif Aiman dari sebelah kiri padang membelah bahagian tengah Kuching City sebelum suatu percubaan jarak jauh dilepaskan dan menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli ketika JDT sedang menanti detik kemenangan.
Ternyata, Arif Aiman ada mengungkapkan kata-kata buat Xisco Munoz sebelum beliau dibawa masuk dan perkara ini dikongsikan oleh jurulatih kelahiran Sepanyol tersebut semasa sesi sidang media pasca perlawanan.
Xisco Munoz mendedahkan Arif Aiman sudah sedia mengubah momentum permainan ketika mana aksi masih terikat tanpa jaringan sehinggalah kata-katanya itu menjadi kenyataan menerusi impak serangan dan jaringan di penghujung aksi.
“Mengenai (kemasukan) Arif, ini memang sebahagian daripada rancangan kami.”
”Kami tahu dia (Arif Aiman) boleh bermain dalam tempoh masa itu (ketika 30 minit terakhir) dan dalam latihan terakhir, dia menunjukkan prestasi luar biasa,” ujar Xisco Munoz.
“Apabila Arif hendak masuk ke padang, dia beritahu saya, ‘coach, tenang. Tiada masalah, saya boleh ubah keadaan’ dan dia memang melakukannya,” cerita beliau lagi.
”Saya sangat gembira.”
Dua jaringan daripada Marcos Guilherme dan Arif Aiman pada perlawanan tersebut menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia ke-4 berturut-turut buat JDT selepas turut memenangi trofi berprestij tinggi itu pada edisi 2022, 2023 dan 2024-2025 yang lalu.