Keadaan padang di TM Stadium Nasional dilihat dalam keadaan baik menjelang sepak mula final Piala Malaysia 2025-2026 antara JDT vs Kuching City
Tinjauan terbaharu dilihat berdasarkan pemantauan semasa keadaan padang sebelum sepak mula perlawanan JDT vs Kuching City sebaik pintu stadium dibuka buat penyokong kedua-dua pasukan masuk seawal jam 5 petang tadi.
Walapun hujan lebat serta angin kuat sempat melanda ibu kota termasuklah kawasan stadium namun keadaan padang dilihat masih dalam keadaan baik hasil sistem pengaliran air yang berfungsi dengan lancar bagi mengelakkan sebarang situasi tak diingini.
Malah, penjagaan rapi oleh Perbadanan Stadium Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti rumput dan padang TM Stadium Nasional ini berada di tahap terbaik menjelang final Piala Malaysia edisi ke-99 ini.
Ini termasuk memastikan jadual penggunaan padang disusun dengan teratur apabila sesi latihan rasmi kedua-dua pasukan berlangsung lebih awal, iaitu pada Khamis bagi memastikan keadaan padang kekal berada dalam kondisi optimum pada Sabtu.
Tempoh rehat selama satu hari pada Jumaat memberi masa secukupnya buat para petugas yang terlibat bagi memastikan keadaan padang kembali berada pada tahap terbaik dan perjalanan perlawanan akhir nanti tidak terganggu.
Aksi final Piala Malaysia antara JDT vs Kuching City bakal diadakan pada Sabtu, 23 Mei 2026 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.