Penyerang baharu Terengganu FC, Kpah Sherman yakin gandingan bersama rakan sepasukannya sebelum ini di Kedah, Kipre Tchetche mampu membawa Terengganu menjulang Piala musim ini.
Dua musim bersama Tchetche, baginya tiada masalah dari segi komunikasi di atas padang. Kpah turut percaya akan kualiti pemain tempatan yang mampu beri impak yang positif.
“Kombinasi saya dengan Tchetche baik dan tidak ada masalah mengenai keserasian dan persefahaman kerana sudah dua musim bersama, begitu juga dengan pemain tempatan walaupun baharu bersama, harap tiga mata dapat diraih.
Pemain kelahiran Liberia ini gembira dengan keluarga baharunya yang mampu membantu beliau untuk menjadi penjaring terbanyak musim ini.
Walaupun bukan tugas mudah bagi Kpah, beliau yakin kemampuan pasukannya untuk mencipta kejutan pada musim ini.
“Saya juga berazam untuk memburu penjaring terbanyak musim ini lebih-lebih lagi skuad kami bagaikan satu keluarga besar saling faham memahami lebih-lebih kami bermula dengan baik dalam aksi pemanas badan.
“Ya saya mahu menang piala bersama TFC musim ini, ini azam saya walaupun ia tanggungjawab yang besar perlu kami pikul,” kata Kpah kepada Harian Metro.