Gary Steven Sahkan Sedang Berunding Dengan Nafuzi

Gary Steven Robbat 3 Gary Steven Sahkan Sedang Berunding Dengan Nafuzi
Foto: Sabah FC
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Dalam usaha membina semula kekuatan skuad Kedah Darul Aman yang kehilangan begitu ramai pemain utama, jurulatih baru pasukan itu, Nafuzi Zain sedang rancak memburu pemain-pemain berkualiti.

KDAFC telah melepaskan secara keseluruhannya 17 pemain termasuk import dan mengekalkan 12 pemain daripada skuad musim ini, manakala empat pemain pula telah dipromosi daripada skuad Piala Presiden.

Penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz pula menjadi rekrut pertama mereka tatkala beberapa lagi pemain difahamkan sedang cuba dipancing Nafuzi.

Antara pemain yang menjadi sasaran bekas jurulatih Terengganu itu termasuklah pemain tengah Sabah FC, Gary Steven Robbat, di mana pemain kelahiran Kulim itu sendiri mengesahkan sedang dalam rundingan dengannya.

“Saya ada menerima tawaran dengan jurulatih Nafuzi sebelum ini. Sebelum dia pergi Kedah, dia ada tawarkan kepada saya.

“Saya juga masih berbincang dengan Sabah, mereka ada tawarkan kontrak lanjutan tetapi saya masih belum putuskan.

“Kalau ikut instinct saya masih kekal bersama Sabah tetapi rundingan dengan jurulatih Nafuzi untuk ke Kedah masih lagi berjalan,” kata bekas pemain Harimau Muda itu dipetik dari portal Flash Sukan.

Gary menyertai Sabah pada awal musim ini setelah beraksi secara pinjaman bersama Melaka United pada musim lalu, dan merupakan salah seorang pemain sandaran Dato’ Ong Kim Swee dalam laluan Sabah mengakhiri kempen Liga Super di tempat ketiga, selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Di sebalik telah mewarnai kancah Liga Malaysia selama lebih sedekad, Gary yang akan berusia 31 tahun pada musim depan tidak pernah mewakili negeri kelahirannya.