Advertisement
Gelora Bung Karno Dipilih Gelanggang Rasmi Indonesia di Piala AFF
Dunia
MakanBola
Good News From Indonesia

Indonesia mampu menghela nafas lega selepas mendapat lampu hijau daripada FIFA untuk menggunakan Stadium Gelora Bung Karno bagi menghadapi saingan Piala AFF 2022. Hal ini dapat direalisasikan hasil bantuan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang meminta FIFA mempertimbangkan semula permohonan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menggunakan stadium tersebut untuk perlawanan bola sepak.

Dengan kebenaran ini, Indonesia bakal mengharungi dua perlawanan Kumpulan A Piala AFF di stadium keramat mereka. Tim Garuda bakal berdepan Kemboja pada 23 Disember sebelum menentang Thailand enam hari selepas itu. Keputusan ini disambut baik oleh Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) Indonesia, Zainudin Amali.

Cuma, satu persoalan yang bermain dalam kepala penyokong ialah sama ada mereka dapat turun ke stadium untuk menyatakan sokongan atau tidak. Ini kerana sebagai syarat pertandingan bola sepak Indonesia kembali disambung beberapa minggu lepas ialah pasukan-pasukan beraksi tanpa kehadiran penonton.

Zainudin menambah, mereka berusaha untuk mengubah situasi ini termasuk merujuk hal tersebut kepada pihak polis. “Kami ada usahakan (kebenaran penyokong ke stadium) kerana ianya adalah hajat satu negara. Saya tiada halangan mengenai perkara ini, kalau ada atau tidak, saya okay saja. Saya berusaha agar penyokong boleh masuk ke stadium supaya pasukan boleh bermain dengan baik. Kami berusaha tetapi penilaian akhir tetap ditentukan oleh pihak polis,” ujarnya.

PSSI juga berharap dapat melihat kelibat penyokong di Gelora Bung Karno. Menurut Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan, hal ini telah disuarakan oleh ramai orang termasuk para pemain Timnas Indonesia sendiri. Beliau berkata, “Kalau untuk penonton, kami serahkan kepada pihak polis. Kami selaku ketua persekutuan (PSSI) menginginkan itu. Kelmarin, mereka (para pemain) meminta kalau kebenaran sudah diberi kepada penonton. Kami (PSSI) mahukan sokongan.”

Tambah Iriawan yang turut dikenali sebagai Iwan Bule itu, beliau melihat kehadiran penonton dapat menyuntik motivasi kepada anak-anak buah Shin Tae-yong bila berdepan lawan di atas padang. “Kerana penonton itu ialah pemain ke-12, kan. Itu permintaan daripada rakan-rakan atau para pemain Timnas semasa di Bali.”

Tim Garuda ketika ini sedang mengadakan latihan pusat di Bali sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022. Dan tidak seperti sesetengah pasukan, Indonesia akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan sebelum turun beraksi menentang Kemboja dalam Piala AFF 2022 pada 23 Disember ini.