Pertahanan kental pasukan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco optimis dengan kepulangan tiga tonggak utama pasukan yang mampu memberikan nilai tambah dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Beliau dan rakan sepasukan tidak mahu melepaskan peluang berharga ini untuk sekali lagi mara ke final selepas melakukannya pada aksi Piala FA.
Ketika ini, The City Boys ketinggalan dengan agregat 1-2 selepas tewas dengan Terengganu pada aksi pertama tempoh hari.
Pertahanan tinggi lampai kelahiran Australia ini bagaimanapun optimis dengan kejutan yang bakal dilakukan setelah kepulangan beberapa tonggak utama pasukan.
“Tiga orang ini (Paulo, Romel dan Ryan) adalah pemain utama KL City. Ini adalah penambahan yang terbaik buat pasukan. Sekarang kami ada skuad terbaik dan saya rasa sangat yakin kami ada peluang terbaik di Terengganu.”
Bekas pemain Tottenham Hotspur FC ini melihat persamaan pada identiti kedua-dua pasukan selepas pengendalinya membawa falsafah bola sepak terbaik dari Croatia untuk memantapkan pasukan.
“Kami (Kl City dan Terengganu) memiliki corak permainan yang hampir sama. Ini mungkin kerana jurulatih membawa falsafah Croatia ke dalam pasukan. Kita menang dengan mereka sekali dan mereka mengalahkan kami sekali, jadi inilah penentunya.”
“Apabila melihat kembali gol yang diberikan kepada Terengganu, kami tahu pasukan boleh melakukan lebih baik dan mengelakkan perkara tersebut berlaku. Kami harap perkara seperti ini dapat dielakkan,” jelasnya kepada Astro Arena.
KL City berada dalam detik terbaik untuk kembali bangkit tatkala Terengganu keciciran mata berdepan Sri Pahang dalam aksi terakhir tempoh hari.