Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco dilihat memakai jersi Harimau Malaya ketika aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup skuad negara menentang Filipina.
Kelibat bekas pemain remaja Tottenham Hotspur itu memakai jersi Malaysia dikesan lensa kamera SNE Sports di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gallifuoco dilihat fokus memberi sokongan kepada anak buah Tan Cheng Hoe sambil ditemani ‘Ekor’ Harimau Malaya.
Malaysia menepati ramalan layak ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup dengan menewaskan Filipina 1-0. Gol sulung G. Pavithran di peringkat antarabangsa memastikan kemenangan Harimau Malaya.
Gallifuoco antara calon pemain naturalisasi yang berpotensi memperkuat cabaran Harimau Malaya di peringkat antarabangsa. Kemas kini terbaru menyatakan kes Gallifuoco kini dirujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung peraturan kelayakan badan induk itu.
Pasukan guaman beliau berharap FIFA dapat memberi lampu hijau kepada bekas pemain Swansea City itu dari segi kelayakan mengikut Artikel 10 Perenggan 2 (b) Peraturan Dasar/Pentadbiran Statut FIFA.
Sekiranya proses permohonan bek tengah berusia 32 tahun itu berjalan lancar, ini akan membuka jalan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memuktamadkan proses naturalisasi Gallifuoco.
Selain beliau, FAM juga sedang menunggu keputusan FIFA berhubung proses naturalisasi dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo.