Gol Liridon Krashniqi Buat Malaysia Belum Cukup Padamkan Kesangsian Penyokong

liridon 1 Gol Liridon Krashniqi Buat Malaysia Belum Cukup Padamkan Kesangsian Penyokong
FA Malaysia
Hakim Johari @HakimJohari4
11:39pm 26/03/2022

Pemain naturalisasi Malaysia, Liridon Krashniqi berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia tumpas 1-2 kepada Singapura. Namun aksi Liridon bersama skuad kebangsaan masih lagi mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong.

Dalam perlawanan menentang Filipina yang lalu, Liridon Krashniqi menjadi sasaran penyokong ekoran aksi beliau yang terlalu lama memegang bola dan situasi Liridon yang kerap mematikan tempo menyerang Harimau Malaya. Namun dalam perlawanan kali ini, Liridon menampilkan aksi yang sedikit lebih baik berbanding sewaktu menentang Filipina.

Jaringan penyamaan Liridon dalam perlawanan bertemu Singapura turut merupakan gol pertama beliau buat Harimau Malaya setelah 6 kali menyarung jersi skuad kebangsaan. Walaubagaimanapun penyokong masih sangsi terhadap keupayaan dan kesesuaian Liridon dalam menyarung jersi Harimau Malaya.

Liridon yang merupakan pemain tengah menyerang masih belum memberikan impak besar sewaktu beraksi untuk Malaysia. Umum diketahui bahawa projek naturalisasi 2 pemain iaitu Liridon Krashniqi dan Guilherme De Paula oleh FAM merupakan satu langkah untuk meningkatkan kualiti pasukan Malaysia.

Liridon ketika ini sudah berusia 29 tahun dan kini beraksi di Liga Super India bersama kelab Odisha FC.