Granit Xhaka Berdepan Dakwaan Jenayah Di Switzerland
MakanBola
Sunderland AFC

Bekas pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka berpotensi dikenakan dakwaan jenayah di Switzerland kerana memiliki sijil vaksin Covid-19 palsu.

BBC Sport melaporkan Xhaka kini disiasat pendakwa raya bandar Lucerne berhubung isu berkenaan. Pejabat pendakwa raya melancarkan siasatan bagi mengetahui sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya ketika beliau mendapatkan sijil tersebut.

Xhaka kemudiannya memuat naik satu hantaran di media sosial bahawa beliau mengaku memiliki sijil vaksin palsu. Pada ketika itu, pemain tengah Sunderland itu merasa kurang percaya dengan vaksin Covid-19.

“Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu, saya mendapatkan sijil vaksin dan bukannya mendapatkan penjelasan bagi persoalan saya yang belum terjawab melalui saluran yang betul.

“Hari ini, saya sedar sepenuhnya bahawa tindakan itu tidak wajar. Ia satu kesilapan. Saya memohon maaf.

“Saya bertanggungjawab atas keputusan ini dan akan melibatkan diri dalam proses penentuan fakta dan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Meskipun Switzerland tidak menetapkan kewajipan mendapatkan sijil berkenaan, sijil vaksin diperlukan jika mana-mana rakyat negara itu mahu mengakses kemudahan, aktiviti atau perjalanan tertentu.

Keperluan itu dikuatkuasakan di Switzerland sehingga musim bunga 2022. Sejak itu, sijil vaksin Covid-19 dikeluarkan negara itu sebagai syarat kemasukan buat warganya apabila mengadakan perjalanan ke luar negara.

Susulan siasatan pihak berkuasa Switzerland dan pengakuan Xhaka, pemain tengah berusia 33 tahun itu telah menarik diri daripada skuad kebangsaan negara itu.

Sekiranya didapati bersalah, bekas pemain Bayer Leverkusen itu berdepan pelbagai bentuk hukuman termasuk denda.

Switzerland bakal mengharungi kempen Liga Negara-Negara UEFA (UNL) dengan menentang Macedonia Utara pada 27 September, Scotland (30 September), Slovenia (4 Oktober) dan Macedonia Utara sekali lagi pada 7 Oktober.