Habuan Setengah Juta Dalam Tangan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya berpeluang mendapat habuan lebih RM500,000 jika menyertai FIFA ASEAN Cup.

Seasia Goal melaporkan setiap pasukan bertanding termasuk tiga pasukan jemputan bakal menerima AS$125,000 (RM510,000). Selain itu, mereka juga akan menerima bonus setiap kali meraih kemenangan atau seri.

Juara bagi divisyen Premier dan Challenge juga akan menerima habuan lumayan. Juara kategori Premier bakal menerima AS$1 juta (RM4.1 juta).

Juara kategori Challenge pula akan menerima hadiah AS$300,000 (RM1.2 juta). Menariknya, nilai hadiah tersebut sama dengan hadiah kemenangan bagi juara ASEAN Hyundai Cup.

Divisyen Premier menyaksikan persaingan lapan pasukan dalam dua kumpulan. Kumpulan A terdiri daripada Malaysia, Indonesia yang juga tuan rumah, India dan Singapura.

Kumpulan B pula terdiri daripada Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan. Satu lagi pasukan jemputan, Hong Kong berada dalam divisyen Challenge bersama Myanmar, Brunei, Laos, Timor Leste dan Kemboja.

Hong Kong yang juga tuan rumah divisyen berkenaan dalam Kumpulan A bersama Myanmar dan Brunei. Laos, Timor Leste dan Kemboja pula berentap dalam Kumpulan B.

Juara divisyen Premier bakal ditentukan menerusi perlawanan membabitkan juara kedua-dua kumpulan. Pasukan tempat ketiga pula ditentukan oleh naib juara kedua-dua kumpulan.

Peraturan sama juga terpakai kepada divisyen Challenge. Kejohanan ini akan berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober ini.

Memandangkan kejohanan ini berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semua pasukan berpeluang memanggil pemain terbaik terutama yang berpangkalan di luar negara.