Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin bakal menyertai kejohanan dunia bersama salah satu pasukan yang terkemuka pada penghujung Julai nanti di Jepun.
Perkara ini diumumkan oleh JDT Racing Team di laman sosial rasmi berkenaan penyertaan Hafizh bersama Ducati Team Kagayama di kejohanan dunia yang bakal dijalankan di Litar Suzuka, Mie Prefecture, Jepun.
“Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team akan menunggang bersama Ducati Team Kagayama dalam pusingan ketiga Kejohanan Dunia FIM Endurance 2024, Acara Tahunan Perlumbaan Ketahanan 8 Jam Coca-Cola Suzuka ke-45 di Litar Suzuka, Mie Prefecture, Jepun dari 19-21 Julai.”
Ducati Team Kagayama turut mengutuskan surat buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas kesudiaan membenarkan Hafizh bersaing bersama pasukannya itu dari 19-21 Julai nanti.
”Kami di Ducati Team Kagayama ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana membenarkan Hafizh Syahrin Bin Abdullah menunggang pasukan kami pada pusingan ke-3 FIM World Endurance Championship 2024.”
Tambahnya lagi, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Hafizh mengenai jenteranya itu bakal menjadi nilai tambah buat pasukan bagi meraih kejayaan dalam perlumbaan itu nanti.
“Pengalaman berharga Hafizh dalam perlumbaan endurance dan pengetahuan tentang Ducati Panigale V4R adalah bonus tambahan dan akan meningkatkan peluang kami untuk memenangi perlumbaan,” tulis Ducati Team Kagayama di dalam surat tersebut.
Segala kos penerbangan, makanan dan perbelanjaan yang berkaitan juga akan ditanggung oleh pihak Ducati Team Kagayama bagi memastikan penyertaan Hafizh bersama pasukan nanti.
Selain Hafizh, dua lagi pelumba yang turut bakal bersama Ducati Team Kagayama bagi acara perlumbaan kali ini adalah Ryo Mizuno dan Josh Waters.