Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim tekad untuk kembali cemerlang untuk musim 2020 ini bersama Perak selepas menjalani dua pembedahan iaitu lasik matanya dan koyakan meniskus pada sendi lututnya.
Penjaga gawang yang pernah menggegarkan arena bola sepak negara dengan kecekapannya mengawal gawang gol ini telah mencipta nama dengan pantas sehingga beberapa kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Namun, pada musim lepas, sentuhan emas penjaga gol utama Perak itu ‘hilang’ entah ke mana. Lebih buruk lagi, beliau telah melakukan beberapa kesilapan yang mengakibatkan pasukannya tewas dalam perlawanan-perlawanan penting.

Selepas timbul berita pada bulan lepas bahawa beliau telah selesai menjalani pembedahan lasik untuk merawat matanya yang mengalami masalah silau yang tinggi serta pembedahan lutut kanannya, barulah orang ramai tahu isu sebenar yang membelenggui dirinya sebelum ini.
“Saya tidak menyertai latihan penuh pra-musim kerana saya sedang tumpu kepada pemulihan bagi dua pembedahan. Tetapi saya yakin mampu bebas dari sebarang isu kesihatan sebelum musim bermula,” katanya
“Saya dah lama nak buat pembedahan lasik ini, tetapi sebelum ini saya tiada masa kerana jadual liga yang terlampau padat. Jadi bulan Disember lepas saya ada masa, jadi saya telah selesaikannya”, tambahnya lagi.
Untuk Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020, Hafizul Hakim telah pun memasang tekad untuk memastikan semua orang melihat beliau kembali ke prestasi terbaiknya. Tambahan pula selepas menjalani rawatan tersebut, matanya kini sudah boleh melihat dengan jelas!