Advertisement
Haikal Noh Ketuai Skuad eRimau Ke AFC eAsian Cup Di Qatar
UltraSukan
UltraSukan
Johor Southern Tigers

Saingan Piala Asia 2023 di Qatar membabitkan 24 negara bakal dihangatkan lagi dengan kejohanan AFC eAsian Cup 2023.

Kejohanan e-sukan ini merupakan kejohanan e-sukan pertama yang dianjurkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Kejohanan yang menyaksikan penyertaan 20 negara Asia itu bakal berlangsung di Doha dari 1 hingga 5 Februari.

Cabaran Malaysia dalam AFC eAsian Cup ini bakal digalas oleh skuad Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) eRimau. Sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut, tiga pemain e-sukan telah dipanggil FAM untuk menjalani latihan pusat pada 26 Januari 2024.

Tiga pemain e-sukan yang bakal menggalas cabaran negara ialah Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh (JDT Haikal), Muhamad Khairul Abdul Aziz (Keron) dan Shaharil Shaifuddin Shaharuddin (Ochibikun).

Shaharil bukan saja menggalas peranan sebagai pemain skuad FAM eRimau. Malah, beliau juga akan memegang peranan sebagai jurulatih pasukan sepanjang AFC eAsian Cup.

Nama Haikal Noh atau JDT Haikal bukan asing dalam kalangan penggiat e-sukan Malaysia. Ini kerana beliau bergelar pemain nombor satu dunia untuk eFootball pada Januari 2023.

Haikal juga tersenarai sebagai antara 20 pemain terbaik dalam kejohanan Global Esports Game eFootball World Cup yang berlangsung pada tahun lepas. Dalam kejohanan itu, beliau menduduki tangga ke-17 dunia.

Kemahiran tiga pemain e-sukan ini bakal ditagih Malaysia untuk mempamerkan cabaran mantap AFC eAsian Cup.

Mereka akan terbang ke Doha, Qatar pada 30 Januari sebelum memulakan cabaran menentang Jordan pada 1 Februari ini. Skuad FAM eRimau kemudiannya berdepan Bahrain dan Korea Selatan pada 2 Februari.

Saingan pusingan 16 terbaik dan suku akhir kejohanan akan berlangsung pada 4 Februari 2024. Ini disusuli saingan separuh akhir dan final yang akan diadakan 5 Februari 2024 di Doha Festival City Mall, Qatar.