Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin berpotensi kembali ke badan induk itu sebagai Presiden Kehormat.
Sebelum ini, ura-ura Hamidin menjadi Presiden Kehormat FAM timbul selepas beliau memilih tidak mempertahankan jawatan presiden pada Disember 2024.
Susulan itu, kerusi panas berkenaan diisi Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub. Ini selepas beliau menang tanpa bertanding dalam kongres pemilihan yang diadakan pada Februari lalu.
Kini, ura-ura pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat kembali hangat apabila Kongres Luar Biasa FAM 2025 bakal diadakan pada 30 Jun ini.
Apabila perkara itu diajukan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, beliau memaklumkan perkara itu akan diketahui dalam kongres berkenaan.
“Memang betul tidak dinafikan dengan pengalaman Tan Sri (Hamidin) dalam mentadbir persatuan bola sepak dan hubungan beliau dengan FIFA, AFC, AFF dan kerajaan masih erat.
“Kita buat masa ini memang macam saya sendiri akan meminta nasihat dan pandangan beliau. Tentang Presiden Kehormat, itu kena tunggu dalam Kongres Luar Biasa tersebut,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Hamidin memimpin FAM dari tahun 2018 hingga 2024. Selain Presiden FAM, beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis FIFA dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).