Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyambut baik idea serta pandangan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail (TMJ) yang mencadangkan agar setiap stadium negeri menggunakan jenis rumput yang berkualiti.
Demi memastikan mutu saingan Liga Malaysia musim ini lebih kompetetif, kerajaan telah menawarkan perbadanan stadium di setiap negeri geran untuk menukar rumput. Hannah Yeoh dalam tulisannya di Instagram pada semalam menjelaskan bahawa idea tersebut merupakan buah fikiran daripada TMJ.
“Betul ini idea DYAM Tuanku untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang rumput yang berkualiti,” tulis Hannah Yeoh.
Hannah Yeoh ketika ditemui di Wisma FAM memaklumkan bahawa kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju menawarkan rumput baharu jenis Zeon Zoysia untuk ditukar di setiap stadium negeri.
Proses penukaran rumput dari Cowgrass ke Zeon Zoysia di setiap stadium negeri ini dijangka bakal bermula pada pertengahan atau penghujung tahun setelah pihak KBS menerima maklum balas daripada setiap exco negeri.
Jika mereka bersetuju, KBS akan menaja kos penukaran rumput manakala kos penyelenggaran pula perlu ditanggung setiap negeri.
Di Malaysia ketika ini hanya dua stadium yang menggunakan rumput selain Cowgrass iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang menggunakan Zeon Zoysia dan juga Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77.
Untuk makluman, Stadium Nasional Bukit Jalil kini dalam proses penukaran rumput kepada Zeon Zoysia yang dijangka siap pada Oktober 2023.