Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkongsi keadaan terkini Stadium Merdeka dan apa perancangan yang bakal diusahakan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Selepas ramai peminat sukan negara teruja melihat imej terbaru stadium tersebut baru-baru ini, delegasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diketuainya mengadakan tinjauan di Stadium Merdeka dan Menara 118 semalam.
Rombongan KBS melihat kerja-kerja pemulihan dan penaiktarafan yang dilakukan sekitar Stadium Merdeka termasuk trek olahraga baru stadium.
Hannah kemudiannya memaklumkan KBS bakal bekerjasama dengan PNB bagi merakyatkan lagi kemudahan di situ termasuk Stadium Merdeka agar dapat dimanfaatkan oleh warga Lembah Klang.
“Saya berkesempatan mengadakan lawatan ke Merdeka 118 dan Stadium Merdeka pagi tadi.
“KBS Malaysia akan berkolaborasi dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk merakyatkan lagi fasiliti dan kemudahan di sini dengan pelbagai aktiviti Rakan Muda dan sukan khas untuk warga Kuala Lumpur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Proses pemulihan, penaiktarafan dan pengurusan Stadium Merdeka diletakkan di bawah seliaan anak syarikat PNB, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd menerusi Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006.
Stadium Merdeka yang siap dibina dalam tempoh setahun (1956-1957) menjadi saksi pelbagai peristiwa bersejarah termasuk pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.