Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz melihat rekod ampuh Kuching City bakal menjadi cabaran di pentas final Piala Malaysia 2025-2026 esok.
Pertembungan final Piala Malaysia menyaksikan JDT sebagai juara bertahan turun bertemu Kuching City yang kali pertama melangkah ke perlawanan akhir sejak ditubuhkan 10 tahun lalu.
Walaupun dianggap sebagai pasukan pilihan di final, JDT masih meletakkan fokus yang tinggi melihat kepada prestasti konsisten Kuching City sepanjang Liga Super musim ini sehingga muncul naib juara.
Xisco Munoz menjangkakan cabaran getir dari Kuching City di final selepas melihat rekod pertemuan kedua-dua pasukan yang seringkali berakhir dengan keputusan sengit meskipun memihak JDT.
Malah, pertahanan ampuh Kuching City yang hanya dibolosi 14 gol dalam saingan liga menjadi tumpuan jurulatih dari Sepanyol itu, sekali gus membuktikan kelab Borneo itu cukup berdisiplin di atas padang.
“Cabarannya ialah kami beraksi menentang satu pasukan yang hanya dibolosi 14 gol dalam keseluruhan Liga Super. Mereka pasukan yang sangat berdisiplin.,”
“Apabila kami bermain menentang mereka, keputusannya selalu sengit; 1-0, 0-1, atau 2-1. Kami perlu masuk ke padang dengan tahap fokus maksimum.
Meskipun begitu, Xisco Munoz tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap para pemain untuk tampil dengan versi terbaik di final nanti dengan fokus tahap maksimum dituntut bagi menamatkan musim dengan satu lagi trofi.
“Kuching City sangat kuat dari segi tahap persaingan dan fizikal. Esok (Sabtu) menuntut tahap terbaik daripada kami. Kami perlu faham konteks perlawanan akhir ini dan saya yakin pemain akan menunjukkan versi terbaik mereka.
Aksi final Piala Malaysia antara JDT vs Kuching City bakal berlangsung pada Sabtu, 23 Mei 2026 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.