Penyerang Harimau Malaya, Haqimi Azim Rosli percaya pasukan itu akan kembali bangkit menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Skuad senior Malaysia menutup tahun 2024 dengan kekecewaan apabila gagal layak ke peringkat separuh akhir ASEAN Championship 2024.
Ini selepas Harimau Malaya diikat tanpa jaringan oleh Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A. Keputusan ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kumpulan di tangga ketiga dengan lima mata.
Singapura pula mengiringi Thailand selaku naib juara Kumpulan A dengan tujuh mata. Ini selepas anak buah Tsutomu Ogura meraih dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Haqimi mengakui kegagalan ini merupakan satu kekecewaan buat Harimau Malaya. Pada masa sama, ini akan menjadi pembakar semangat buat skuad negara menjelang kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula pada Mac 2025.
“Saya harap penyokong dapat terima kita pada malam ini. Jadi, kami harap kita akan bangkit semula dan Insya Allah, kita akan menang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Aksi tersebut juga aksi terakhir Pau Marti Vicente bersama Harimau Malaya. Ini kerana selepas ini, peranan tersebut bakal digalas oleh jurulatih Australia, Peter Cklamovski bermula 1 Januari 2025.
Atas sebab itu, barisan pemain negara memohon maaf kerana tidak dapat memberi hadiah perpisahan terbaik buat jurulatih Sepanyol itu.
“Kami memohon maaf kepada Coach Pau dan barisan kejurulatihan kerana tidak dapat berikan persembahan terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya (separuh akhir.
“Kami berterima kasih kepada Coach Pau kerana membimbing kami sehingga ke tahap ini,” tambahnya.
Malaysia kini mengalihkan fokus untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027. Skuad negara akan membuka kempen kelayakan dengan menentang Nepal pada 25 Mac 2025.