Skuad Harimau Malaya difahamkan akan diperkuat dengan kehadiran tonggak dari dua buah negara di benua Eropah.
Pada Selasa, peminat bola sepak tempatan menerima khabar mengujakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend membawa berita proses terkini mengenai pemain warisan.
Menurut Friend, ketika ini terdapat 4 orang pemain sedang menunggu proses dijalankan dengan seorang daripadanya berasal dari Belanda dan menunggu pasport Malaysia.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia bagi pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir,” kata Rob Friend dalam satu kenyataan.
“Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan,” tambah beliau.
Khabar ini membuatkan para peminat teruja dan tertanya-tanya siapakah gerangan pemain warisan yang memiliki darah Malaysia dan berasal dari negara Belanda.
Selain Belanda, difahamkan juga pemain warisan yang bakal tiba nanti turut berasal daripada Sepanyol menerusi satu laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
”4 pemain warisan baru kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada Kerajaan Malaysia. FAM juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain,” ujarnya di laman X.
Di sebalik hantaran tersebut, Zulhelmi sempat memberi bayangan dengan meletakkan emoji bendera Sepanyol bersama bendera Malaysia seakan memberi petanda untuk peminat Harimau Malaya.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung mana-mana pemain dari Sepanyol yang dikaitkan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Ujian awal Peter Cklamovski dan juga Malaysia adalah aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac ini.