Dalam satu sidang media Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika memperkenalkan jalinan kerjasama antara JDT dan Universal Music, pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) telah menyuarakan pendapat peribadi baginda mengenai skuad harimau Malaya.
TMJ beranggapan masih terlalu awal untuk menilai tahap dan keupayaan pengendali baru Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Bagaimanapun baginda menunjukkan reaksi positif dengan kehadiran jurulatih dari Korea Selatan itu.
“Terlampau awal untuk kita nilai, sekurang-kurangnya beberapa perlawanan tak boleh satu dua tiga perlawanan kita terus nilai. Bola sepak adalah proses. Saya juga dahulu masa ambil JDT, satu tahun tak pernah menang apa-apa.”
Tunku Ismail turut berpandangan bahawa kem Harimau Malaya kali ini merupakan sebuah skuad yang berbeza. Dengan struktur dan perancangan yang tepat, TMJ tampak gembira dengan perkembangan tersebut.
“Bagi dia masa, dia tahu apa dia buat. Tapi saya rasa positive steps untuk Harimau Malaya. This time is gonna be different kerana apabila saya lihat struktur mereka, yang dia tunjuk kepada saya amat positif kerana ia lebih kurang sama masa kita (JDT) masa awal-awal dulu.”
Dalam pada itu, TMJ juga memuji barisan kejurulatihan dan pegawai Harimau Malaya yang mana kini lebih peka dengan kebajikan para pemain. TMJ menjelaskan bahawa mereka kali ini benar-benar melihat keupayaan setiap pemain di dalam liga.
“Sebelum ini tiada, tapi sekarang mereka ada perancangan. Ada medical team dan mereka betul-betul monitor setiap pemain dalam negara,” kata Tunku Ismail Idris.