Keadaan kesihatan bekas penyerang terbilang tanah air, Hashim Mustapha dilaporkan dalam keadaan kritikal dan beliau ketika ini ditidurkan di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Perkembangan itu disahkan oleh isteri beliau, Zaheran Hussien kepada BH Sukan.
Menurut Zaheran, keadaan jantung Hashim Mustapha tidak stabil dan semakin merosot menyebabkan beliau dikejarkan ke HUSM pada tengah hari Jumaat.
“Sebelum itu kami sudah membuat pemeriksaan tekanan darah di rumah dan bacaannya sangat rendah dan kami bergegas membawanya ke hospital.
“Suami dirawat di Zon Merah dan jam 5 pagi tadi. Dia terpaksa ditidurkan kerana tekanan darah semakin rendah dan jantungnya juga menjadi laju. Malah ubat yang diberikan juga tidak berupaya menjadikan keadaannya stabil.
“Keadaannya semakin lemah dan saya harap semua yang mengenali suami, doakan yang terbaik dan semoga ada keajaiban buatnya,” katanya.
Bulan lalu, Hashim Mustapha yang pernah muncul pemenang kasut emas Liga Malaysia sebanyak dua kali telah menjalani pembedahan memotong kaki kiri berikutan saluran darah tersumbat setelah terjatuh motor ketika dalam perjalanan untuk mengendalikan sesi latihan Tok Janggut Warriors pada bulan Mac.
Kakinya membengkak sejak dari itu dan penyakit kencing manis yang dihidapinya mengakibatkan jangkitan kuman. Zaheran tidak menolak kesihatan Hashim Mustapha merosot disebabkan komplikasi daripada pembedahan tersebut.
Ketika eranya sebagai pemain, selain Kelantan, Hashim turut pernah menyarung jersi Kedah, Johor, JKR Kelantan dan TNB Kelantan.
Selepas bersara, beliau terjun ke arena kejurulatihan dan pernah membimbing skuad Piala Presiden Kelantan selama beberapa musim, selain membimbing pasukan Liga FAM malah pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan.
Beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.