Advertisement
Hasrat Malaysia Jadi Tuah Rumah Piala Asia 2025 Jadi Kenyataan
UltraSukan
UltraSukan
Persatuan Sepak Takraw Malaysia

Khabar baik buat peminat sepak takraw tanah air apabila Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kejohanan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2025 nanti.

Hal ini selepas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah bersetuju untuk menerima tawaran oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan sendiri dalam satu sidang media setelah Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan itu pada Ahad.

Menurut Datuk Mohd Sumali, secara dasarnya, pihak PSM telah bersetuju untuk menerima tawaran tersebut namun beberapa perkara perlu dibincangkan dan diambil kira seperti dana dan juga takwim tahunan.

“Banyak faktor serta sudut yang dibincangkan dan secara dasarnya, kita bersetuju cuma ada beberapa perkara perlu dihalusi,” katanya berdasarkan laporan Bernama.

“Antaranya dana dan takwim kerana tahun depan dijangka penuh dengan kejohanan besar termasuklah Sukan SEA Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) serta kejohanan lain.”

Tambah beliau lagi, oleh disebabkan faktor-faktor yang dinyatakan ini, keputusan untuk meneruskan saingan Piala Asia ini akan ditentukan atau mungkin mengutamakan kejohanan lain yang turut terdapat di dalam takwim.

“Kita akan putuskan nanti sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri laluan pada kejohanan lain terlebih dahulu,” ujar beliau lagi.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Asia Sepak Takraw ini dibuat setelah menyaksikan kejayaan negara mengendalikan Piala Dunia Sepak Takraw yang diadakan Mei yang lalu.

Dalam saingan Piala Dunia tersebut, pasukan sepak takraw negara tampil penuh cemerlang untuk meraih dua gelaran juara dalam acara regu dan beregu manakala bagi acara berpasukan, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Thailand di final.