Advertising
Hassan Sunny Gantung But
MakanBola
FA Singapore

Selepas 20 tahun menabur bakti dalam dunia bola sepak Singapura, penjaga gol legenda, Hassan Sunny memutuskan untuk menggantung but.

Keputusan penjaga gol berusia 40 tahun itu dinyatakan dalam satu hantaran panjang lebar di akaun Instagram peribadinya. Sepanjang bersama The Lions, Hassan telah merekodkan 115 penampilan antarabangsa.

Ad

“Selepas 20 tahun dan 115 penampilan antarabangsa sejak debut antarabangsa saya pada tahun 2004, sudah tiba masanya untuk saya mengumumkan persaraan dari peringkat antarabangsa.

Ad

“Perjalanan bola sepak saya dengan pasukan kebangsaan adalah perjalanan roller-coaster dengan banyak pasang surut, tetapi saya menghargai setiap saat.

“Ia sentiasa menjadi penghormatan untuk mewakili negara saya, dan saya akan merindui perjalanan bas pasukan, perjalanan ke luar negara, stadium yang penuh sesak, dan banyak lagi,” katanya.

Ad

Hassan merasakan sudah tiba masanya beliau memberi peluang kepada penjaga gol lain untuk menggalas peranan sebagai penjaga gol utama Singapura. Meskipun tidak lagi bersama The Lions, beliau akan sentiasa menyokong perjuangan pasukan itu di peringkat antarabangsa.

Ad

“Sekarang, sudah tiba masanya untuk saya berundur dan benarkan penjaga gol yang lebih muda mengambil alih. Saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada bahagian penjaga gol dan pasukan serta akan sentiasa menyokong mereka.

Ad

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan kebangsaan Singapura dalam kejohanan yang akan datang dan semoga berjaya dalam usaha mereka pada masa hadapan,” ujarnya.

Keputusan ini menjadikan beliau mengatasi David Lee sebagai pemain paling banyak merekodkan penampilan antarabangsa buat Singapura dengan 115 penampilan. Sepanjang bersama The Lions, Hassan membantu pasukan itu bergelar juara ASEAN Championship edisi 2004 dan 2007.

Malah, nama Hassan turut menjadi sebutan peminat bola sepak di China disebabkan ketangkasannya semasa menentang Thailand pada Jun lalu.

Meskipun Singapura tewas 3-1 kepada skuad Gajah Perang, keputusan itu sudah cukup membantu negara Asia Timur itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 atas kelebihan jaringan.

Antara kelab yang pernah diwakili beliau ialah Albirex Niigata Singapore, Lion City Sailors, Warriors, Tampines Rovers, Geylang International, Geylang United dan Young Lions.

Hassan juga pernah mewarnai saingan liga Thailand dengan mewakili Army United sebanyak dua kali iaitu 2015-2016 dan 2018-2019.

Beliau pernah mengecapi kejuaraan S. League (kini Singapore Premier League (SPL)), Singapore Cup dan Singapore Community Shield.