Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Ahmad Hazwan Bakri mengakui rindu beraksi di atas padang selepas terpaksa berehat lama akibat kecederaan.
Hazwan, 33, terpaksa berehat lama selepas mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dalam aksi terakhir Liga Super 2023 membabitkan JDT dan Penang FC.
Bekas penyerang Selangor FC diberi peluang beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan tersebut oleh jurulatih Argentina, Tano Solari. Walau bagaimanapun, beliau hanya beraksi selama tujuh minit sebelum digantikan Ramadhan Saifullah pada minit ke-69.
Bekas pemain kebangsaan itu pada awalnya menjalani proses pemulihan bersama Harimau Selatan. Hazwan kemudiannya menjalani proses pemulihan di bawah pemantauan jurulatih kecergasan, Khairulanwar Isa di sebuah pusat fisioterapi dan pemulihan sukan di Shah Alam, Selangor.
Hazwan mengakui disebabkan tempoh pemulihan yang lama, ini membuatkan beliau merasa rindu untuk kembali beraksi di atas padang.
“Rasa (rindu) itu memang adalah. Yalah sebab ACL, kita sudah lama tak ke padang (dan) tak sepak bola. (Rasa) nak bermain itu adalah, rindu gila,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.
Hazwan berharap dapat kembali pulih menjelang Ogos ini. Ini kerana tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) berlangsung pada ketika itu.
Pada masa sama, beliau juga tidak mahu tergesa-gesa kerana ingin pulih sepenuhnya sebelum membuat kemunculan di atas padang.
“Perkembangan saya masih lagi buat pemulihan. Masih lagi tapi dalam bulan 8, Insya Allah saya akan cuba kembalilah dalam masa terdekat.
“Peluang itu tengok kepada keadaan kitalah. Kalau lepas tujuh, lapan bulan lagi sudah tiada sakit lagi, mungkin Insya Allah boleh buat kemunculan semula. Kita tengok perkembangan macam mana,” tambahnya.
Sepanjang kariernya, Hazwan pernah meraih kejuaraan Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih bersama Selangor dan JDT. Beliau turut merekodkan 32 penampilan bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.