Advertisement
Hilang Kaki Kiri Tidak Bunuh Keinginan Hashim Mustapha Untuk Kembali
Dunia
MakanBola
NSTP

Hashim Mustapha dan bolasepak tidak dapat dipisahkan.

Di sebalik kehilangan kaki kirinya pada bulan lalu kerana jangkitan kuman, ia tidak membunuh keinginan bekas pemain kebangsaan itu untuk kembali turun ke padang.

Sebelum ini, Hashim merupakan ketua jurulatih kelab Liga M3, Tok Janggut Warriors FC dan beliau kini bersedia menerima sebarang tawaran,

“Kalau ada tawaran (sebagai jurulatih), okey kerana jiwa saya masih kuat untuk bola sepak dan rasa ingin berjasa dalam bidang ini.

“Sebelum ini saya ada buat permohonan dapatkan kaki palsu melalui PERKESO dan pihak mereka sedang membuat pertimbangan. Jika diluluskan, saya akan menjalani rawatan pemulihan di Melaka,” kata Hashim yang merupakan nama ikonik dan sudah tentunya tidak perlukan pengenalan dalam arena bolasepak tanah air.

Beliau terdahulu menerima kunjungan daripada wakil YAKEB yang turut memberikan sumbangan RM1,000 menerusi Skim Bantuan Outpatient untuk perbelanjaan rawatan di hospital.

Ketika penyerang import mula mendominasi Liga Malaysia era 90-an, Hashim Mustapha adalah salah seorang penyerang tempatan yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mereka.

Ketajaman penyudah serta ‘killer-instinct’ yang ada pada dirinya menyaksikan Hashim Mustapha dilabel antara penyerang terbaik pernah disaksikan dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau memberi justifikasi kepada sentuhan berbisanya itu apabila dua kali bergelar penjaring terbanyak saingan Liga Perdana Satu (saingan elit Liga Malaysia 90-an) pada tahun 1993 (13 gol) dan 1994 (29 gol), kedua-duanya ketika bersama Kelantan.

Sepanjang menabur bakti bersama Kelantan, Hashim Mustapha pernah mendakap Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agung.

Beliau juga pernah membantu Kedah memenangi Piala FA, selain menyarung jersi Johor, JKR Kelantan dan TNB Kelantan.

Selepas bersara, beliau terjun ke arena kejurulatihan dan pernah membimbing skuad Piala Presiden Kelantan selama beberapa musim, selain membimbing pasukan Liga FAM MOF FC malah pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan selama beberapa musim.