Pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) Nathaniel Shio Hong Wan menganggap perebutan tempat dalam kesebelasan utama pasukan sebagai satu saingan yang sihat.
Anak muda yang berusia 21 tahun ini mengakui untuk kekal relevan dalam sebuah pasukan yang hebat seperti JDT memerlukan kepada kesungguhan yang tinggi. Hong Wan menjelaskan di JDT ada ramai pemain yang bagus dan berpengalaman seperti Natxo Insa.
Bagaimanapun bekas pemain Wolverhampton Wanderers itu menyatakan bahawa banyak lagi yang perlu beliau pelajari ketika di usia muda ini. Apabila diberi peluang untuk beraksi, beliau tekad untuk memberikan persembahan terbaik.
“Saingan di JDT amat bagus. Kita ada Natxo yang merupakan seorang pemain hebat dan sangat berpengalaman. Saya juga masih muda dan mahu mempelajari sebanyak mungkin. Jika saya diberikan peluang, saya akan lakukan yang terbaik.”
Dalam pada itu, Hong Wan menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan apa-apa sasaran peribadi sebaliknya terus fokus dalam mencapai target pasukan.
“Tiada target buat saya, saya cuma mahu lakukan kerja dan bantu pasukan. Sebagai satu pasukan, kita menang, kita kalah juga sebagai satu pasukan. Apapun jika khidmat saya diperlukan, saya akan bantu semampu mungkin,” ujar Hong Wan kepada ShootApp.