Perancang tengah Johor Darul Ta’zim, Shio Hong Wan merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang digugurkan untuk mewakili skuad kebanggsaan ke FAS TRI-Nations Series 2022 di Singapura.
Hasrat untuk peminat bola sepak Malaysia menyaksikan bekas pemain Wolverhampton Wanderers beraksi buat Harimau Malaya tidak kesampaian.
Menurut satu kenyataan daripada pemilik JDT, baginda ada menyatakan bahawa Hong Wan sebenarnya masih belum sepenuhnya pulih dari kecederaan.
Namun, jika dilihat dari sudut lain mungkin kurang minit permainan serta pengalaman beraksi di pentas antarabangsa menjadi faktor memandangkan musim ini adalah musim pertamanya beraksi di Liga Malaysia.
“Kita ada beberapa pemain cedera, Hong Wan tidak sepenuhnya cergas tapi kita tetap hantar, Safawi juga mengalami kecederaan ‘ankle‘ dan juga Afiq Fazail mengalami ‘groin injury‘ direhatkan selama 20 hari,” kata TMJ dalam sidang media Facebook tempoh hari.
Selain itu, dua nama lagi yang tidak disenaraikan ialah Shahrul Nazeem (Selangor) dan Hakimi Abdullah (Terengganu).
Majoriti tiga pemain yang digugurkan ini kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa berbanding barisan pemain lain yang terpilih.
Walaupun begitu, ini hanyalah permulaan bagi barisan pemain muda ini kerana mereka masih memiliki banyak masa untuk berusaha mempamerkan kualiti masing-masing di masa akan datang.