Hasrat beregu lelaki nombor satu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik layak ke final India Open 2024 tidak kesampaian hari ini.
Ini selepas kemaraan mereka disekat pemenang pingat emas Sukan Asia 2023 dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty di pentas separuh akhir hari ini.
Dari segi kedudukan ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), kelebihan memihak Rankireddy-Shetty kerana mereka ketika ini merupakan beregu kedua terbaik di dunia.
Sementara Aaron-Wooi Yik pula memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan sebelumnya. Mengikut data ShuttleHard, juara dunia beregu lelaki 2022 itu menang lapan daripada 10 pertemuan sebelumnya.
Bagaimanapun, dua pertemuan terakhir memihak kepada regu India itu. Rankireddy-Shetty berjaya mengatasi Aaron Wooi Yik dalam separuh akhir Sukan Asia 2023 dan Indonesia Open 2023.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, Rankireddy-Shetty dan Aaron-Wooi Yik terikat pada kedudukan 14-14.
Bagaimanapun, beberapa kesilapan yang dilakukan Aaron-Wooi Yik membolehkan juara Korea Open 2023 mengungguli set pertama dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik cuba bangkit. Pada awalnya, juara dunia beregu lelaki 2022 itu mendahului pada kedudukan 13-11.
Rankireddy-Shetty berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 13-13. Dengan sokongan padu penyokong tempatan, mereka mengungguli set kedua dengan keputusan 21-14.
Kemenangan ini membolehkan mereka bertemu dengan juara dunia beregu lelaki 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae di pentas final esok.