Advertisement
“Indonesia Belum Setaraf Thailand & Vietnam.” – Park Hang-seo
Dunia
MakanBola
VFF

Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mula melancarkan perang psikologi menjelang aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2022 membabitkan pasukan itu dan Indonesia esok. Dan pada sidang media pra-perlawanan hari ini, beliau melabel Tim Garuda belum setaraf Vietnam mahupun Thailand.

Komen pedasnya itu muncul selepas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong melabel pasukannya kini setaraf dengan Naga Emas dan Gajah Perang.

“Saya tidak biasa menilai jurulatih dan pasukan lain, Benar, Indonesia sekarang lebih kuat tetapi mereka perlu bersikap keras dan membuktikannya dengan keputusan perlawanan (separuh akhir kedua Piala AFF 2022).

“Jika saya kalah, maka saya boleh menerimanya secara adil. Tetapi jika kami menang, jurulatih kamu (Tae-yong) perlu berhenti memperkatakannya (Indonesia setaraf dengan Thailand dan Vietnam),” katanya.

Sebelum itu, dalam sidang media yang sama, Tae-yong melihat anak-anak buahnya setaraf dengan Naga Emas dan Gajah Perang. Malah, sejak beliau diberi kepercayaan oleh PSSI untuk melatih Tim Garuda, mereka mempamerkan banyak peningkatan.

“Sebelum ini, Thailand dan Vietnam merupakan pasukan terkuat di Asia Tenggara. Dalam masa singkat kedatangan saya ke Indonesia, Timnas Indonesia semakin baik setiap hari. Tahap Indonesia dan Vietnam kini setaraf,” ujarnya.

Indonesia hanya perlu mendapat gol di tempat lawan bagi mengikat Vietnam dalam perlawanan esok untuk layak ke final Piala AFF 2022. Manakala Vietnam pula pasti mengharapkan sokongan padu penyokong tempatan untuk membantu mereka menundukkan Tim Garuda.