“Ini Idea Aidil Sharin, Kita Tak Tahu” – Zainal Abidin
MakanBola
KCFC/IFC

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan melihat jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin sentiasa memiliki idea bernas untuk membantu pasukan itu meraih kemenangan.

Beliau berpandangan sedemikian apabila diminta mengulas kemenangan The Cats ke atas Melaka FC di Stadium Hang Jebat baru-baru ini.

Meskipun barisan peledak Kuching City kerap dikawal pertahanan lawan, itu tidak menghalang mereka daripada menjaringkan gol-gol penting.

Zainal Abidin percaya ini berlaku hasil mesej taktikal yang diberi Aidil kepada pemain ketika perlawanan sedang berlangsung.

“Sudah tentu, Coach Aidil ada memberi sesuatu pesanan kepada mereka, apa yang perlu mereka lakukan jika pemain ini tak menunjukkan prestasi memuaskan ataupun dikawal ketat. 

“(Contohnya), Ronald Ngah Wanja dikawal ketat (pemain lawan), apa Ramadhan (Saifullah Usman) kena buat. Jadi, semua ini adalah idea Coach Aidil yang kita tak tahu, tetapi kita dapat lihat,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

Zainal Abidin turut memuji barisan peledak sokongan Kuching City iaitu Jerome Mpacko Etame, Gabriel Nistelrooy, Danial Asri dan Ramadhan Saifullah.

Ini kerana meskipun penjaring terbanyak mereka, Ronald Ngah Wanja dikawal ketat, mereka sentiasa ada untuk menjaringkan gol penting buat The Cats.

“Ada separuh (arahan) taktikal, kita halang penyerang utama mereka, yang lain susah nak gerak. 

“Tetapi di sini, satu rangkaian jaringan yang begitu baik dan boleh dikatakan berkongsi (tugas menjaringkan gol). Jadi yang penting, pasukan yang menang. 

“Jadi, ketiga-tiga (penyerang) ini menjalankan tugas dengan baik dan juga mereka ada (pada masa-masa yang penting),” ujarnya.

Kuching City akan menutup kempen Liga Super dengan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 17 Mei. Kemenangan dilihat sudah cukup untuk anak buah Aidil muncul naib juara musim ini.

Ini kerana slot tempat kedua Liga Super menawarkan kelayakan secara merit ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).