Liga Super: Kuching City Cemas Sebelum Tumpaskan Melaka
MakanBola
MFL

Kuching City dipaksa behempas-pulas sebelum menewaskan Melaka dalam perlawanan Liga Super untuk mengutip 3 mata berharga.

Perlawanan di Stadium Hang Jebat pada Sabtu menyaksikan kemenangan penting 3-1 berjaya diraih oleh Kuching City ke atas Melaka bagi terus kekal di kedudukan kedua Liga Super ketika ini.

Serangan Kuching City menampilkan gandingan Ngah Wanja bersama Jerome Etame tatkala Melaka menurunkan tonggak berpengalaman seperti Shahrel Fikri, Irfan Zakaria serta Sam Somerville.

Penonton terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 sebelum tirai jaringan dibuka menerusi percubaan Jerome Etame yang terus menembusi gawang Melaka untuk pelawat mendahului 1-0.

Separuh masa kedua bersambung dengan Melaka berhasil menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Umar Hakeem yang membawa impak segera hasil gol pada minit ke-47.

Jerome Etame muncul wira Kuching City hasil dua gol yang disumbangkan di minit ke-70 dan 87 untuk melengkapkan hatrik pertamanya sejak menyarung jersi kelab dari Sarawak ini.

Aksi di Stadium Hang Jebat berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak Kuching City untuk The Cats kekal di kedudukan kedua Liga Super, satu mata di atas Selangor yang berada di tangga ketiga.