Ramai penyokong Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) tertarik dengan satu perkongsian menarik pengurusan pasukan itu berkenaan teks ucapan TMJ.
Teks yang dimaksudkan di Johor Southern Tigers itu ialah ucapan baginda selepas JDT tewas 8-5 kepada Kelantan FA secara agregat dalam saingan suku akhir Piala Malaysia 2013.
“Kekalahan hari ini ialah kemenangan pada hari esok. Kita harus bercita-cita tinggi dan bersedia menghadapi kegagalan.
“Hari ini, saya bersama anda semua, berkongsi kesakitan yang sama. Tetapi ingatlah, kekalahan itu ibarat cuaca buruk, ia tidak akan kekal lama. Saya mahukan masa depan yang lebih baik berbanding masa silam. Hidup mati Johor,” katanya.
Dan kini, cita-cita yang dimaksudkan TMJ itu menjadi kenyataan 10 tahun selepas itu. JDT bukan saja merangkul pelbagai gelaran juara termasuk Liga Super sebanyak 10 kali.
Malah, Harimau Selatan juga menjadi sebahagian daripada 40 kelab terhebat Asia bersaing di pentas ACL.
Di samping itu, JDT juga memiliki kemudahan mereka sendiri seperti Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Pusat Latihan JDT. Kemudahan-kemudahan yang dimiliki baginda bukan saja yang terkini tetapi yang tercanggih di benua Asia.
Justeru, tidak hairanlah para penyokong gembira apa yang dihajati TMJ kini menjadi kenyataan. Biarpun sudah menikmati pelbagai kejayaan, baginda sentiasa mahu JDT sentiasa jadi lebih bagus dari tahun ke tahun.